Senin, 23 Desember 2013

Puteri Arab Bebas Tuduhan Menyeludup Manusia



SANTA ANA, California – Kes penyeludupan manusia terhadap seorang puteri Arab Saudi di Amerika Syarikat (AS) telah dibatalkan.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat kelmarin selepas Puteri Meshael Alayban, 42, berdepan tuduhan yang boleh membawa kepada hukuman penjara 12 tahun.

Pertuduhan itu difailkan selepas seorang pembantu rumah dari Kenya mendakwa Meshael merampas pasportnya dan memaksa dia bekerja sepanjang hari tanpa gaji.

Pendakwa raya AS memberitahu, siasatan lanjut tidak menyokong dakwaan tersebut.

Pembantu rumah itu melarikan diri dari kondo Meshael pada Julai lalu dengan menaiki sebuah bas.

Menurut pihak berkuasa, dia memberitahu kisahnya kepada beberapa penumpang bas berkenaan yang kemudian menghubungi polis.

Meshael dan beberapa peguamnya menganggap isu tersebut sebagai pertikaian kontrak. Mereka memberitahu bahawa pembantu rumah tersebut dan beberapa rakan sekerjanya dilayan dengan baik.

Namun, Pendakwa Raya Daerah, Tony Rackauckas berkata, wanita itu telah dilayan seperti seorang hamba abdi.

Meshael sebelum ini telah dibebaskan dengan ikat jamin AS$5 juta (RM16 juta) yang dibayar oleh konsulat Arab Saudi. – AP

0 komentar:

Posting Komentar

◄ Newer Post Older Post ►
 

Copyright 2011 Mentari Pagi